28 Jamadilakhir
1421
"Abang, Amy rasa tidak sihatlah hari ini!"
rungut seorang wanita sambil mengurut-urut perutnya yang sarat itu.
Ramli menoleh kearah isterinya, "Sabarlah sayang, bidan Esah akan
sampailah tu sekejab lagi. Dia menoleh kehadapan semula sambil
melepaskan satu keluhan kecil dan terus mundar mandir di serambi rumah
itu. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa itu tidak dapat mengurangkan
keresahan di hatinya. Tiba tiba air mukanya berubah riang. "Sayang, mak
bidan dah sampai" dia memberitahu isterinya.
Seorang wanita yang separuh umur berjalan
dengan tenang kearah rumah papan itu, sekali sekala mengesatkan peluh
yang merchik di dahinya. "Mak Cik Esah, cepatlah sikit." sapa lelaki itu.
Wanita itu kelihatan terkejut.
"Kenapa ni. Minah dah sakit ke? Bukankah masih
awal lagi ni?" ujar wanita itu lagi.
"Tidak lah begitu. Tetapi dia ni asik
menggelisah semenjak dua tiga hari ni." jawab lelaki itu.
Mak Cik Esah cuma mengganggukkan kepalanya
sambil menanggalkan seliparnya sebelum memijak naik anak tangga. Dia
mencapai gayung di tepi pemegang tangga dan mencebuk air dari tempayan
untuk membasuh kakinya. Dengan berhati-hati dia melangkah naik ke atas
dan masuk kedalam rumah sambil diikuti oleh Ramli.
Mak Cik Esah meletakkan barang-barang yang
dikeleknya dalam bungkusan kain itu ke tepi seorang wanita yang
terbaring di atas tikar mengkuang di lantai. Segera dia mengeluarkan
bekas dupa dan sekejab sahaja bau kemenyan semerbak mencucuk hidung.
Muka Cik Esah berkerut dengan tiba-tiba.
"Kenapa tu. Ada apa-apa ke?" tanya Ramli,
cermas.
"Tidak ada apa-apa." jawab bidan Esah pendek
sambil sibuk membungkus sesuatu daripada dalam bungkusan kainnya kepada
beberapa bungkusan kecil. "Nah! letakkan ni di setiap penjuru rumah."
sambil mengunjukkan beberapa bungkusan berisi jarum, belerang dan tahi
besi berbungkus dalam kertas. Muka Ramli berkerut kehairanan, tetapi
tetap akur menurut arahan bidan itu. Mulut bidan Esah terkumat-kamit
membaca sesuatu sambil dia mengurut belakang wanita yang terlantar itu.
Setelah mengurut beberapa lama, muka wanita itu tidak lagi berkerut
menahan sakit.
"Wah! bagus Mak Cik Esah ni mengurut." kata
Ramli, tersenyum setelah naik ke rumah apabila selesai melakukan seperti
apa yang dipesan oleh bedan Esah tadi. Hatinya lega melihatkan isterinya
sudah tidak duduk mengelisah lagi. Bidan Esah hanya tersenyum sumbing
sambil mengemaskan barang-barangnya. Ramli menghantar bidan Esah
sehingga ke pintu rumah seraya mengunjukkan duapuluh ringgit yang
berlipat rapi. "Terima kasih sekali lagi Mak Cik Esah." kata Ramli
bersungguh-sungguh.
"Kau jagalah bini engkau baik-baik." kata bidan
Esah. "Jangan biarkan dia turun ke tanah waktu-waktu magrib nanti. Kalau
dia memotong kuku, engkau tanamkan kukunya, jangan dibuang merata-rata.
Kalau ada apa-apa panggillah aku. Ingat itu." pesannya
bersungguh-sungguh. Ramli hanya mengganggukkan kepalanya. Matanya
menyorot bidan Esah sehingga melepasi pagar, selepas itu dia masuk
melihatkan isterinya.
"Amy rasa dah sihatlah abang." ujar isterinya
sambil tersenyum. Rahim merasa bimbang ketika isterinya itu mengadu
sakit-sakit badan semenjak beberapa hari yang lalu, sekarang barulah dia
merasa lega. "Rehatlah dahulu sayang." bisiknya lembut.
Beberapa minggu kemudian....
Bunyi cengkerit bersahut-sahutan. Keadaan rumah
itu agak riuh dengan orang ramai. Mak cik Jah menenangkan menantunya. "Sabarlah
Aminah. Sabar. Hah! engkau Bidin, buat apa tercegat di situ lagi.
Cepatlah panggilkan bidan Esah tu. Bini engkau dah hendak bersalin ini."
"Baik mak." ujar Bidin sambil tergesa-gesa
turun kerumah sambil menyalakan jamung untuk menerangi jalan kampung
yang gelap itu. Di pertengahan jalan tiba-tiba dia disapa, "Hendak ke
mana tu Bidin?"
Bidin tercangak-cangak, cuba mengenali siapakah
yang menegurnya dalam kegelapan malam itu. "Hendak menjemput bidan
Esah." jawabnya pendek.
"Minah sudah hendak beranak ke?" tanya suara
garau itu lagi.
"Dah." jawab Bidin. "Siapa itu?" tanya Bidin
lagi apabila dia melihat seimbas, satu lembaga dalam samar-samar api
jamung itu. Tiba-tiba dia merasa seram apabila melihat lembaga itu sudah
menghilang dengan mengejut. Dia segera mencapai hulu parangnya yang
tersisip di pinggang. "Siapa itu? Siapa hah?" dia mencabar pada kesepian
malam. Hanya bunyi cengkerit menyayi riang menyahut cabarannya,
menyebabkan Bidin mempercepatkan langkahnya kearah rumah bidan Esah.
Dalam hatinya dia asyik tertanya-tanya suara siapakah yang menegurnya
tadi, sehinggakan dia tidak tersedar satu lembaga putih melayang kearah
yang bertentangan dengannya di atas kepalanya.
Di rumah Bidin, satu lembaga kelihatan
melangkah semakin dekat. Mak cik Jah yang sedang menunggu di anjung
segera menajamkan mata, cuba memastikan siapakah yang datang itu. "Oh!
bidan Esah." kata Mak Cik Jah, gembira. "Mana Bidin? Dia tidak ikut
bidan Esah bersama-sama?" sambungnya lagi kehairanan.
Bidan Esah mecucurkan air dari gayung untuk
membasuh kaki, sebelum meletakkan cebuk itu kembali dalam tempayan di
tepi tangga. "Dia kata dia hendak pergi mencari daun ubat sebelum balik."
terang bidan Esah menunggu di pintu masuk. "Eh! masuklah." jemput Mak
Cik Jah pada bidan Esah. dia masih kehairanan dengan perangai anaknya
itu yang tidak menemani bidan Esah datang. Dia menjeling keluar dengan
ekor matanya, tertanya-tanya bagaimana bidan Esah boleh berjalan dalam
gelap tanpa bersuluh. "Jamung aku terjatuh semasa aku hendak sampai tadi."
kata bidan Esah sambil melangkah masuk, seolah-olah tahu apa yang hendak
ditanyakan oleh Mak Cik Jah. Mak Cik Jah tersipu-sipu sambil menunjukkan
bilik menantunya berada. "Engkau semua tunggu sahaja di luar nanti.
Jangan masuk walau apa yang berlaku." arah bidan Esah. Mak Cik Jah terus
tertanya-tanya dalam hati tetapi dia hanya menganggukkan kepalanya.
Aminah terbaring di dalam bilik keseorangan
sambil memejamkan matanya. Dia membiarkan sahaja bidan Esah memeriksanya,
apabila tiba-tiba dia merasakan perutnya sakit mencucuk-cucuk. Dia
membukakan matanya dan darahnya berderau melihatkan satu lembaga yang
hodoh sedang duduk di celah kelangkang kakinya sambil menjilat-jilat
darahnya dengan lahap sekali, menggunakan lidah terjelir panjang
sehingga ke kaki. Aminah menjerit-jerit sekuat hatinya. Lembaga itu
hanya tersengih sambil terus menjilat-jilat darah yang keluar. Aminah
tidak dapat berbuat apa-apa kerana kakinya di pegang erat oleh lembaga
itu. "Tolong.. Tolong... Lepaskan aku. lepaskan aku. Engkau shaitan..
Pergi... Pergi.. Abang Bidin... Tolong... Tolong...."
Mak Cik Jah terkejut mendengarkan jeritan
menantunya. Hatinya risau tetapi dia teringat pesan bidan Esah dan akur
menunggu di luar pintu bilik. Orang ramai di ruang tamu sudan mula
berbisik-bisik mendengar teriakan Aminah di dalam bilik itu. Tiba-tiba
terdengar bunyi kecoh di muka pintu, Bidin muncul tercungap-cungap.
"Hah! mana engkau pergi Bidin? Lambat balik.
Kenapa dengan engkau ini?" tanya Mak Cik Jah bertubi-tubi, kerisauan.
"Saya pergi memanggil bidah lah mak." jawab
Bidin kehairanan.
"Bidah Esah sudah lama sampai. Engkau saja yang
entah kemana-mana pula." jawab emaknya.
"Bila pulak aku sampai." terdengar satu suara
di muka pintu.
Mak Cik Jah berpaling dengan pantas. Mukanya
pucat, jika dihiris tidak berdarah. "Bidan Esah... Kalau macam itu siapa
pula yang di dalam..." katanya terputus-putus.
"Syaitan! Penanggalan!" getus bidan Esah sambil
mengetapkan bibirnya penuh kemarahan.
"Abang Bidin...... Tolong..." Aminah meraung
dari dalam bilik.
Bidan Esah segera menerpa ke bilik tetapi
ternyata Bidin lebih pantas mendapatkan isterinya, diikuti dengan bidan
Esah. Mak Cik Jah hanya terpaku terpinga-pinga di tengah ruang rumah,
kebingungan.
Bidin terperanjat melihatkan isterinya
meronta-ronta lemah seorang diri. Bau darah hanyir menusuk-nusuk
hidungnya menyebabkan dia hampir muntah. Segera dia memegang lengan
isterinya. "Tolong isteri saya bidah Esah. Tolonglah." dia merayu kepada
bidan Esah yang terkocah-kocah mengekorinya di belakang.
Bidan Esah segera memeriksa Aminah dengan
teliti. "Syukurlah kita cepat, masih ada peluang. Cepat Bidin, buat
seperti apa yang aku suruh tadi." Sementara itu bidan Esah mengambil
seikat daun telinga beruk dari dalam bungkusannya lalu diberikan kepada
Mak Cik Jah yang kelihatan masih terperanjat itu.
"Cepat rebuskan daun ini untuk di beri minum
buat air selusuh. Lepas itu engkau jerangkan air panas untuk digunakan
nanti." dia mengarah Mak Cik Jah. Bidan Esah berharap dengan ada sesuatu
untuk dibuat, Mak Cik Jah tidak akan lama berada dalam keadaan terkejut.
Bidan Esah tersenyum sedikit apabila terdengar
bunyi bising dari arah dapur menunjukkan semangat Mak Cik Jah sudahpun
pulih sedikit dan boleh membantu. Dia terus membacakan beberapa patah
ayat suci Al-Quran lalu menghembuskan keseluruh tubuh Aminah sebelum
membuat persediaan yang diperlukannya. Ternyata tidak banyak perubahan
berlaku. "Oh! Kamu degil ya!" Desis hatinya.
Bidin melompat pantas, melakukan seperti apa
yang disuruh. Dia turun ke tanah dengan parang terhunus mencari daun
mengkuang dengan hanya bermandikan cahaya bulan.
Dalam kegelapan malam itu satu hilaian memecah
kesunyian malam. Bidin mengetapkan bibirnya. "Kalau aku dapat, tahulah
engkau." dia mengerutu keras. Tangannya menghayunkan parang yang tajam
berkilat itu sekuat hatinya ke pangkal daun mengkuang. Bunyi parang
mengerat daun mengkuang itu bergema dalam kesunyian malam....
Aminah dapat melihat lembaga hodoh itu mengelisah
sebaik sahaja suaminya menerkam masuk tetapi lembaga itu terus sahaja
menjilat-jilat darah yang mengalir itu sambil menyeringa ke arah Bidin
dan bidan Esah, tetapi kedua mereka tidak menyedari kehadiran lembaga
itu. Aminah cuba menjerit memberitahu mereka tetapi dia hanya mampu
mengerang-gerang. Kemudian Aminah dapat melihat Bidin keluar daripada
bilik itu meninggalkannya bersama bidan Esah. Aminah dapat merasakan
perutnya memulas setiap kali lembaga itu menjilat-jilat darah dari
tubuhnya. Apabila asap kemenyan berkepul-kepul naik, Aminah merasa lega
sedikit sementara lembaga itu pula yang mulai mengelisah.
Bidan Esah menaburkan serbuk kemenyan ke atas
bara di dalam dupa dan membiarkan sahaja asap kemenyan berkepul-kepul
naik ke udara sambil mulutnya terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al
Quran. Dia kemudiannya mengeluarkan beberapa biji lada hitam dan
mengasapkannya di atas dupa sebelum meletakkannya ke dalam kain lalu di
tumbuknya perlahan-lahan dengan kacip pinangnya apabila dengan tiba-tiba...
Aminah dapat melihat lembaga itu menyeringa
kesakitan apabila bidan Esah mengetuk sesuatu di dalam ponjot kain.
Secara tiba-tiba lembaga itu melontar sesuatu ke arah muka bidan Esah.
"Aduh!" Jerit bidan Esah sambil memegang
matanya yang tiba tiba sahaja perit. "Oh! Engkau melawan aku ya."
Bisiknya sambil mengeyeh-genyehkan matanya, cuba melihat kembali. Bidan
Esah mendapati pasir memenuhi lantai tempat dia duduk. "Cis! Jembalang.
Kalau jembalang itu tidak patut di buat baik." Desisnya di dalam hati
sambil mengumpulkan pasir yang bertaburan itu ke dalam telapak tangannya
sambil mulutnya terkumat-kamit berterusan membacakan ayat-ayat suci Al-Quran.
Aminah melihat bidan Esah menaburkan pasir yang di
telapak tangannya sedikit demi sedikit ke atas bara api di dalam bekas
dupa, serentak dengan itu lembaga itu meraung kesakitan. Dengan
tiba-tiba lembaga itu bingkas bangun serta menerkam kearah bidan Esah.
Aminah cuba menjeritkan amaran tetapi suaranya tersangkut di dalam
tekaknya sahaja. Sebaik sahaja lembaga itu cuba mencekik bidan Esah ada
sesuatu kuasa yang menghalangnya dan menyebabkan lembaga itu
terpelanting ke sudut bilik. Lembaga itu terus cuba untuk menyerang
bidan Esah beberapa kali tetapi ia terus terpelanting sebaik sahaja cuba
merapati bidan Esah. Akhirnya lembaga itu tersandar sambil terkial-kial
kesakitan sementara bidan Esah berterusan sahaja membaca ayat suci Al
Quran sambil menaburkan pasir di tangannya ke bara api.
Aminah dapat melihat badan lembaga itu berasap dan
melepuh dan dengan secara tiba-tiba sahaja badan lembaga itu terbakar
dengan maraknya. Aminah dapat melihat lembaga itu mengelumpur kesakitan
sementara badannya marak terbakar sebelum sedikit demi sedikit berubah
menjadi asap tebal yang hitam kelam yang menyelubungi bilik itu. Asap
hitam itu berlegar-legar mengelilingi bidan Esah, seolah-olah hendak
melemaskannya, tetapi bidan Esah tidak sedikitpun berhenti membaca
ayat-ayat suci sambil terus membakar baki pasir yang tinggal di
tangannya. Akhirnya asap hitam itu beransur-ansur semakin menipis ditiup
angin yang menerpa masuk melalui liang dinding rumah kayu itu sebelum
bercampur dengan asap kemenyan lalu hilang.
Setelah lembaga itu menghilang barulah Aminah
dapat bingkas duduk dan menjerit ketakutan, sebelum dia ditenteramkan
oleh bidah Esah. "Mengucap, mengucap anak. Jangan lupa kepada Allah yang
sentiasa melindungi hambanya daripada gangguan shaitan." Perlahan-lahan
perasaan Aminah menjadi bertambah tenang setelah dia mengucap berkali-kali
dan barulah dia boleh berbaring kembali ke katil.
"Bidin! Engkau jangan masuk." Arah bidan Esah
apabila mendengar bunyi telapak kaki Bidin yang bergegas naik apabila
mendengarkan jeritan isterinya. Bidin akur dan menunggu dengan penuh
bimbang di muka pintu.
Melihatkan Aminah sudahpun bertenang, bidan
Esah segera mengeluarkan segala alat perubatannya dari dalam bungkusan
kain yang sentiasa dikeleknya bersama, dan segera dia bertungkus lumus
dengan segala keupayaannya sebagai seorang bidan berusaha untuk
menyelamatkan dua nyawa yang berada di hadapannya itu. Mula-mula dia
memberhentikan darah yang keluar itu menggunakan beberapa campuran daun
yang diramas lumat. Selepas pendarahan itu berhenti, barulah dia
mengurut perut Aminah, cuba mengasak bayi dalam kandungan itu supaya
turun sedikit. Dia berasa bimbang sedikit kerana mendapati kandungan itu
masih tinggi sedangkan Aminah sudahpun lesu akibat terperanjat dan
banyak kehilangan darah tetapi dia tetap mengawal air mukanya agar
Aminah tidak dapat melihat perasaan bimbang di dalam hatinya. Bidan Esah
mengeluh sambil berusaha seupayanya.
Bidin sudahpun selesai meletakkan daun
mengkuang di sekeliling rumah apabila dia mendengar bunyi teriakan dari
atas rumah. Segera dia menerpa ke atas rumah tetapi arahan bidan Esah
menyebabkan dia terhenti di muka pintu bilik. Bidin menunggu dengan
penuh debaran.
Bunyi tangisan bayi menyambut ketibaannya.
Hatinya berdegup kencang apabila bidan Esah melangkah keluar sambil
mendokong seorang bayi yang baru lahir. "Nah, pegang anak engkau.
Syukurlah semuanya selamat." kata bidan Esah sambil menyelak sedikit
kain pembalut bayi itu sebelum melangkah masuk kembali kedalam bilik.
Bidin dapat merasakan matanya berair. Dia berdiri tegak sahaja sambil
mendodoikan anaknya itu seketika, kemudian sambil memangku anaknya dia
mengalunkan azan dengan perlahan-lahan di telinga kanan anaknya.
- TAMAT -
|