KISAH KEKASIH ALLAH
"Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya
sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk
keperluan keluarga mahupun untuk dijual.
Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak
untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu
isterinya di dapur.
Sayidatina 'Aisyah menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu
membantu urusan rumahtangga. Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat
ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang."
Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu.
Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak
ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, "Belum ada
sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah
yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan') Aisyah menjawab dengan agak serba
salah, "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah." Rasulullah lantas berkata, "Jika
begitu aku puasa saja hari ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.
Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya.
Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?" Lantas soalan itu dijawab
dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia
tetap degil, jadi aku pukul dia." "Aku tidak bertanya alasanmu," sahut Nabi s.
a. w. "Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada
anak-anakmu?"
Pernah baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah
lembut terhadap isterinya."Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi
ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai
pemimpin umat.
Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat,
pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali.
Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh
baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain.
Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya
setelah selesai bersembahyang, "Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan
menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?" "Tidak, ya
Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar."
"Ya Rasulullah... mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar
seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit... "
desak Umar penuh cemas. Akhirnya
Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang
kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan
rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yangmenimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali
bergeraknya tubuh baginda. "Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan
tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?" Lalu baginda
menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau
korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti,
apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?" "Biarlah kelaparan
ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di
dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak."
Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang
penuh kudis, miskin dan kotor. Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya
direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya.
Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi
di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.
Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah sebati
dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ketuanan. Seolah-olah
anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa
lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan. Ketika
pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi
berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah
baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak. Fizikalnya sudah tidak
mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah,
"Ya> Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih
bersusah payah begini?" Jawab baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku
ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang
bersyukur."