TEGURAN ORANG TUA
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

 
 
TEGURAN ORANG TUA.
 
24 Rabiul Akhir 1423





 


 

Bunyi riang-riang bersahut-sahutan menyambut ketibaan malam. Matahari di ufuk barat telah bertukar warna menjadi kemerah-merahan. Dua orang pemuda masih lagi asyik memegang joran di tepi sungai dibawah bayangan pokok Jemerlang Laut. Tong ikan Coleman yang berisi air batu di hujung kaki mereka telahpun hampir penuh dengan pelbagai jenis ikan seperti ikan bujuk, baung, bagoh, temperas, sebarau, kenerak, dan haruan yang berjaya dipancing mereka berdua, tetapi tidak ada tanda-tanda yang mereka hendak beredar dari situ. 

Kedudukan tempat itu yang terletak di penghujung jalan mati itu sememangnya aman tenteram menambahkan lagi keasyikan mereka memancing. Kepenatan kerana memandu hampir enam kilometer meredah belukar untuk sampai ke tempat itu sudah berpadanan dengan hasil tangkapan mereka itu. Sudah berjam-jam lamanya kedua pemuda itu hanya mendiamkan diri supaya tidak menakutkan ikan-ikan yang melirik melihat umpan di mata kail masing-masing.

Bunyi batuk kecil di belakang menyebabkan seorang daripada mereka hampir melompat terkejut dan terus berpaling ke belakang. Seorang tua yang berjubah putih dengan janggut putih separas dagu berjalan perlahan-lahan sambil memandang mereka dengan wajah sedikit kehairanan. "Anak buat apa itu."

Pemuda yang di sapa itu masih agak terkejut tetapi beransur tenang apabila melihatkan orang tua itu hanya seorang diri. "Oh, kami sedang memancing."

"Banyak dapat ikan?" tanya orang tua itu lagi.

"Banyak. Dah cukup untuk dibuat lauk." jawab pemuda itu tenang.

"Bagus." jawab orang tua itu pendek. "Anak dah sembahyang?" tanyanya lagi.

"Belum. Tapi kami dah nak balik ini." jawab pemuda itu sambil tersenyum sambil berpaling kepada kawannya yang hanya kaku mendiamkan dirinya. Kawannya tidak berkata apa-apa, sebaliknya hanya mula berkemas perkakasan memancingnya apabila mendengar kawannya berkata hendak pulang.

Pemuda itu agak hairan melihatkan kawannya berkemas dengan pantas seolah-olah dikejar sesuatu. Dia berpaling kearah orang tua itu setelah diam sejenak, untuk bertanyakan di mana orang tua itu tinggal kerana dia tidak nampak sebarang rumah di kawasan itu apabila pemandangan yang terlihat di matanya menyebabkan dia terkaku. 
 
 


Bulu roma di belakang lehernya tegak berdiri, dan serta merta dia juga turut kelam kabut mengemaskan perkakasan memancingnya. Orang tua yang bercakap dengannya masih berjalan kearah hutan tebal di hujung jalan mati itu dengan perlahan-lahan, tetapi bukan itu yang menyebabkan pemuda itu bergegas berkemas. Keadaan orang tua itu yang tinggal separuh pinggang dari arah kakinya dan semakin menghilang diri menakutkan kedua pemuda itu.

Setelah mereka bergegas memuatkan kereta mereka dengan peralatan mengail, mereka segera memecut balik dengan laju. Sesekali pemuda itu berpaling kearah kawannya yang sedang memandu dengan penuh tumpuan untuk mengelakan mana-mana tunggul kayu yang berada di tengah jalan itu. Jantungnya masih berdegup kencang tambahan lagi denga keadaan hari yang semakin gelap. Setelah sampai ke atas jalan raya barulah pemuda itu dapat mengumpulkan keberanian untuk bertanya rakannya itu. "Mana engkau tahu?"

Kawannya yang memandu itu menoleh seketika kearah pemuda itu. "Apa yang engkau fikirkan. Mana ada rumah orang di tempat itu."

Mereka berdua hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan pulang. Sampai kerumah, mereka hanya menyerahkan ikan masing-masing kepada isteri mereka sebelum terus menunaikan sembahyang maghrib. Kata-kata orang tua itu masih terngiang-ngiang di telinga pemuda itu. "Anak dah sembahyang?????"
 

Jadi sekarang atuk nak bertanya kepada cucu-cucu atuk semua pula. "Cucu-cucu semua dah sembahyang ke?"

HAA!HAA!HAA!HAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAA!

Cerita ini hanyalah khayalan semata-mata. Sebarang persamaan dengan yang hidup atau yang telah mati hanyalah kebetulan semata-mata.

LAMAN MISTIK