Undur | Laman Utama | Depan

 
Undur | Laman Utama | Depan 
 

 
 
A | B | C | D | E | F | G | H | I | J | K | L | M
N | O | P | Q | R | S | T | U | V | W | X | Y | Z
 
 

DAFTAR B
23 Syaaban 1422

Bakteria
Bakteria adalah haiwan seni yang hanya boleh dilihat melalui mikroskope. Bakteria merupakan haiwan yang mempunyai binaan badan yang mudah dan hanya mempunyai satu sel. Terdapat beribu-ribu jenis bakteria di dunia ini, dan kebanyakannya masih belum dikenal pasti. Bakteria dikelaskan mengikut asas ciri fizikal mereka seperti bentuk, keupayaan bergerak, komposisi unsur kimia "chemical  composition", dan sebagainya, ataupun mengikut aktiviti biokimia.
Bakteria dengan lebih lanjut

Bangunan Sultan Abdul Samad
Bangunan Sultan Abdul Samad terletak di jalan Raja bersebelahan dengan Dataran Merdeka, dahulunya dikenali sebagai Padang Kelab Selangor tempat bemain kriket. Bangunan Sultan Abdul Samad direkabentuk oleh akitek Noman dan Bidwell, mempunyai senibina neoklasik Moghul, Moorish, Arab dan British. Pembinaannya memakan masa selama dua tahun dan siap pada 1897. Bangunan Sultan Abdul Samad dinamakan sempena nama Sultan Selangor keempat Sultan Abdul Samad (1859-1898) yang memerintah ketika itu.  Bangunan Sultan Abdul Samad dilengkapi dengan menara berkubah tembaga dan mempunyai menara jam setinggi 130 meter. Pada tengah malam 31 Ogos 1957 di depan Bangunan Sultan Abdul Samad bendera Union Jack diturunkan dan digantikan dengan bendera Malaysia. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Perdana Menteri Malaysia pertama kemudiannya melaungkan Merdeka! Merdeka! menandakan kemerdekaan Malaysia sebagai negara yang berdaulat.

Batu Bersurat negeri Terengganu.
Pada tahun 1887, Batu Bersurat telah dijumpai di kawasan Padang Tara, di tepi Sungai Tara, di Kampung Buloh, Kuala Berang, Hulu Terengganu. Ia kemudiannya ditempatkan dibahagian tangga surau Kampung Buloh yang kemudiannya beransur dilupakan dan dijadikan alas membasuh kaki untuk naik ke tangga surau tersebut. Kemudian pada tahun 1902, batu ini disedari oleh Saiyed Husin bin Ghulam Al Bukhari, seorang ahli perniagaan. Saiyed Husin meminta Penghulu Ali dan orang kampung mengangkat dan meletakkannya diatas rakit untuk dibawa ke Kuala Terengganu.

Sampai di Kuala Terengganu, batu ini telah di persembahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin III dan kemudian batu itu diletakkan diatas Bukit Puteri. Pada tahun 1922 Timbalan Penasihat Inggeris di Terengganu Encik H.S. Peterson meminta seorang jurufoto berbangsa Jepun, N.Suzuki mengambil gambar dan dihantar kepada C.O. Blegden untuk dibuat pembacaan. Batu itu telah patah sebahagian disebelah atasnya dan ditulis didalam bahasa Melayu dengan tulisan jawi bertarikh 702 Hijrah. Tulisan pada batu ini menerangkan, Islam sebagai agama rasmi dan hukum-hukum Islam mengenai perbuatan maksiat dan kenyataan -kenyataan palsu beserta dengan hukuman mengikut taraf seseorang.

Pada tahun 1923, batu ini dipinjamkan ke Muzium Singapura sehingga Muzium Negara di Kuala Lumpur siap dibina, batu bersurat tersebut telah dipulangkan ke Kuala Lumpur dari Muzium Raffles Singapura. Pada 12 Februari 1987, Kerajaan Negeri Terengganu telah menulis surat kepada Jabatan Muzium menyatakan hasrat untuk mendapat kembali Batu Bersurat tersebut untuk dijadikan bahan pameran di Muzium Negeri Terengganu. Pada tahun 1991, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Batu Bersurat dipulangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Batu ini merupakan sebuah peringatan berbahasa Melayu yang terawal yang dijumpai di Semenanjung Malaysia berkaitan dengan pengistiharan Agama Islam sebagai agama rasmi dan Undang-undang Islam.

Memorial Batu Bersurat dibangunkan sebagai suatu Peringatan tempat penemuan Batu Bersurat. Batu Bersurat ini merupakan bukti tertulis tentang pengisytiharan Islam sebagai agama rasmi bagi Negeri Terengganu malahan di Semenanjung Malaysia.
http://www.terengganu.gov.my/pdht/bm/bersurat.html

Batuk Kokol (Pertussis)
Penyakit batuk kokol disebabkan bakteria Bordetelia pertussis dan berpunca daripada jangkitan saluran pernafasan yang tersekat-sekat terutama di kalangan kanak-kanak berumur bawah dua tahun. Tanda-tandanya ialah batuk sekali-sekala dan melarat menjadi batuk kokol berpanjangan dan akhirnya muntah. Batuk kokol jika dibiarkan boleh mengakibatkan kerosakan otak. Terdapat kira-kira 40 juta kes baru setiap tahun dan mengakibatkan 340,000 kematian di mana satu peratus daripadanya dikalangan bayi berumur kurang setahun. Pembawa kuman pertussis ialah manusia dan kumannya hidup di saluran pernafasan. Bakteria batuk kokol sensitif kepada faktor alam sekitar termasuk kekeringan, kepanasan dan sinaran matahari dan mudah tersebar melalui pernafasan. Batuk kokol boleh menyebabkan pneumonia, konvulsi, pendarahan dan kekeringan.

Beduan
Sejenis nyanyian rakyat negeri Perlis dan diringi dengan bunyi-bunyian gendang. Beduan mempunyai persamaan dengan bentuk zikir dan burdah yang diringi dengan pukulan rebana.

Beruang Hitam Asia
Beruang Hitam Asia mempunyai nama saintifik Selenarctos Thibetanus.

Bintang
Bintang merupakan bebola jisim gas yang terbentuk disebabkan tarikan graviti mereka sendiri. Cahaya bintang terhasil dari tindakbalas pelakuran nuklear di bahagian teras, di mana unsur hidrogen digabungkan untuk menghasilkan unsur helium, gelombang eletromagnetik, dan tenaga. Permulaan kelahiran bintang dipercayai daripada kepulan gas hidrogen dan debu angkasa yang membentuk Nebula. Apabila debu dan gas berkumpul, daya gravitinya meningkat dan menarik lebih banyak debu dan gas daripada Nebula sehingga termampat dan membentuk bebola gas. Apabila bebola gas mempunyai daya tarikan graviti yang tinggi, tekanan meningkat menghasilkan suhu tinggi sehingga berlaku pelakuran nuklear gas hidrogen yang membebaskan helium, haba, dan cahaya. Bintang terdekat dengan bumi adalah matahari pada jarak purata 149,680,000 kilometer, diikuti oleh Proxima Centauri dalam constellation Centaurus kira-kira empat tahun cahaya. Bintang dikelaskan melalui melalui spektrum cahaya yang dihasilkan yang menentukan warna nyalaan bintang, suhu, kecerahan, saiz, jisim, ketumpatan, dan komposisi kimianya.
 

Warna Suhu Permukaan °C Contoh
Biru > 25,000 Spica
Putih-Biru 11,000 - 25,000 Rigel
Putih 7,500 - 11,000 Sirius
Putih-Kuning 6,000 - 7,500 Procyon A
Kuning 5,000 - 6,000 Matahari
Jingga 3,500 - 5,000 Arcturus
Merah <3,500 Betelgeuse

Kecerahan bintang dibahagi kepada 1 hingga 6, dimana satu ialah bintang paling cerah, dan 6 sebagai bintang paling malap. Terdapat juga kecerahan yang diukur secara mutlak yang dikenali sebagai magnitud mutlak antara +26.0 sehingga -26.5. Saiz bintang menurut turutan kecil ke besar adalah Neutron < Kerdil (0.01 saiz  Matahari) < matahari < Raksaksa < Superraksaksa bersaiz 400 kali matahari). Ketumpatan bintang bergantung kepada saiz bintang yang memberi kesan kepada graviti bintang. Kandungan kimia bintang dikenalpasti menggunakan peralatan spektroskop.  Apabila kandungan hidrogen di teras bintang kehabisan, teras bintang mengecut dan membebaskan banyak haba dan memanaskan lapisan luar bintang.  Lapisan luar bintang yang masih banyak hidrogen mengembang dan bertukar warna merah dan dikenali sebagai bintang raksaksa merah yang boleh mencapai 100 kali saiz matahari sebelum membentuk bintang kerdil putih. Sekiranya bintang tersebut bersaiz lebih besar daripada matahari, ia akan membentuk superraksaksa merah. Superraksaksa merah ini kemudiannya membentuk Nova atau Super Nova dan kemudiannya membentuk bintang neutron atau Lohong Gelap.

Bintang Neutron
Bintang Neutron merupakan bintang yang telah mengalami peringkat Superraksaksa merah dan meletus dalam letusan yang dikenali sebagai nova atau supernova. Sekiranya teras bintang yang tertinggal mengandungi banyak neutron, ia dikenali sebagai bintang neutron. Bintang neutron biasanya bersaiz beberapa kilometer sahaja tetapi mempunyai daya tarikan graviti yang tersangat kuat. Dianggarkan bahawa sesudu jisim bintang neutron mempunyai berat 1,000 juta tan. Bintang neutron berputar ligat dan menghasilkan denyutan gelombang radio, dengan itu bintang neutron juga dikenali sebagai bintang pulsar. Bintang neutron akan beransur menjadi sejuk dan akhirnya tidak dapat dikesan lagi.

Biuku
Biuku mempunyai nama saintifik Callagur Borneoensis atau nama Inggerisnya Painted Terrapin. Biuku merupakan tuntung terbesar dengan saiz sehingga 75 centimeter (30 inci). Biuku biasanya hidup di air payau seperti di muara sungai dan bertelur di kawasan berpasir ditebing sungai sama seperti. Telurnya boleh dimakan dan manusia merupakan ancaman utama yang menyebabkan tuntung diancam kepupusan sama ada dengan pengutipan telur tuntung untuk dijual ataupun aktiviti pemaju seperti pengambilan pasir sungai atau oleh pembalakan luar kawal.
.
Brakiopod
Brakiopod adalah sejenis hidupan yang lebih primitif jika dibandingkan dengan kerang dan siput. Haiwan ini mempunyai cengkerang seakan-akan kepah moden. Kenyataannya, hampir semua brakiopod telah pupus di akhir usia Perm, iaitu detik kepupusan paling besar yang pernah dialami oleh hidupan di muka bumi.
http://www.lestari.ukm.my/NewsL-GeoBilJun-2.htm

Bukit Kepong
Peristiwa bukit Kepong merupakan satu peristiwa menyayat hati yang berlaku ketika negara dilanda darurat. Pada pukul 5 pagi, 23 Februari 1950, satu gerombolan komunis telah menyerang berek polis Bukit Kepong yang mengakibatkan seramai dua puluh lima orang telah terbunuh dan lima orang tercedera termasuk orang awam. Pihak pengganas ini diketuai oleh Muhammad Indera dengan bilangan anggota seramai 200 orang. Pihak anggota polis dan ahli keluarga mereka telah bertahan dengan gagah berani dan walaupun Balai Polis dan Pejabat Penghulu telah dibakar hangus, pihak komunis akhirnya terpaksa mengundurkan diri. Ketika serangan berlangsung, bantuan daripada orang kampung yang diketuai oleh Penghulu Ali dari Kampung Tui, berserta tigabelas AP/HG ( Auxiliary Police/Home Guard ) menuju ke Bukit Kepong untuk turut memberikan bantuan. Walaupun dihalang oleh komunis, kehadiran mereka sedikit sebanyak telah memberi tekanan kepada pihak komunis dan memaksa komunis berundur.
http://army.mod.gov.my/peristiwa_bersejarah/23_02_1950.htm

Bulan
Bulan merujuk kepada satu atau lebih jisim yang beredar mengelilingi sebuah planet yang bersaiz lebih besar, dan mereka pula bergerak mengedari bintang. Bulan yang beredar mengelilingi bumi hanya bersaiz satu per empat daripada bumi dan beredar mengelilingi bumi setiap 27.3 hari, pada jarak purata 384,400 kilometer di bawah tarikan graviti bumi. Bulan tidak mempunyai sumber cahaya dan cahaya bulan sebenarnya berasal daripada pantulan cahaya matahari. Bulan mempunyai 1/4 garispusat bumi bersamaan 3,476 kilometer dengan kekuatan graviti hanya 0.16 = (1/6) graviti bumi. Bulan dipercayai berasal daripada asteroid bersaiz Marikh yang menghentam bumi lalu berkecai. Teras asteroid itu terus menghentam bumi, tetapi lapisan luar asteroid terpelanting dan terperangkap dalam orbit mengelilingi bumi lalu membentuk bulan. Ini berdasarkan isipadu bulan yang terlalu ringan berbanding isipadu bumi, iaitu hanya 0.012 berbanding jisim bumi. Di bulan tidak terdapat udara ataupun air, hanya banyak kawah yang terhasil dari hentaman komet. Ketiadaan udara dan air di bulan menyebabkan hakisan tidak berlaku dan ada di antara kawah di bulan yang berusia berjuta tahun dahulu. Di antara kawah terbesar di bulan adalah Clavius bergaris pusat 230 kilometer dan sedalam 3.6 kilometer. Ketiadaan udara juga menyebabkan tiada bunyi kedengaran di bulan. Bulan dipercayai terbentuk daripada tiga lapisan iaitu teras bulan, lapisan mantel setebal 800 kilometer dan kerak bulan setebal 60 kilometer. Teras bulan dipercayai tidak mempunyai haba seperti bumi, menyebabkan tiadanya pergerakan muka bumi seperti gunung berapi, pergerakan kerak bulan, ataupun gempa bulan. Permukaan bulan yang sama sentiasa menghadap ke bumi setiap masa dan perbezaan suhu bulan adalah antara 100C hingga -155 di bahagian gelap yang tidak menerima cahaya matahari. Kapal angkasa tanpa kendali yang pertama mendarat di bulan adalah dari Russia, Luna 9 pada 3 Februari 1966. Manusia pertama mendarat di bulan adalah Neil Armstrong dari Amerika Syarikat, pada 21 Julai 1969 melalui program Apollo 11.
Lebih lanjut mengenai program angkasa Apollo di - http://www.nasm.edu/apollo/

Bumi
Planet ketiga daripada sembilan planet dalam Sistem Suria, Bumi dijangkakan berusia selama 4,600 juta tahun. Jarak purata Bumi dengan matahari adalah 149.6 juta kilometer. Bumi mempunyai lapisan udara dan medan magnet yang melindung permukaan Bumi daripada angin suria, sinaran ultra merbahaya, dan radiasi dari angkasa lepas. Lapisan udara ini menyelitupi bumi sehingga ketinggian 700 kilometer dan yang selebihnya dianggap angkasa lepas. Lapisan udara ini dibahagi kepada Troposhere, Stratosphere, Mesosphere, Thermosphere, dan Exosphere. Lapisan ozon, setinggi 50 kilometer, wujud di lapisan Stratosphere dan Mesosphere dan melindungi bumi daripada sinaran ultra-lembayung.  Perbezaan suhu permukaan Bumi adalah di antara -70°C sehingga 55°C bergantung kepada iklim tempatan. Sehari di Bumi bersamaan 24 jam dan setahun di bumi bersamaan 365.25 hari. Bumi mempunyai jisim seberat 59,760 juta juta tan, dengan luas permukaan 510 juta kilometer persegi. Ketumpatan Bumi pada 5,500 kilogram setiap meter persegi digunakan sebagai unit perbandingan ketumpatah berbanding planet yang lain, dengan ketumpatan Bumi sebagai 1. Bumi mempunyai garis pusat sepanjang 12,756 kilometer. Graviti Bumi diukur sebagai 10 N kg-1 dijadikan unit ukuran graviti planet lain, dengan graviti Bumi sebagai 1. Bumi mempunyai 1 bulan. 70.8% permukaan bumi diseliputi air. Udara Bumi terdiri daripada 78% nitrogen, 21% oksijen, dan 1% wap air, karbon dioksida, dan gas lain. Bumi dianggarkan mempunyai teras dalam besi nikel beku setebal 1,370 kilometer dengan suhu mencecah 4,500°C, diselitupi pula oleh teras luar yang cair setebal 2,100 kilometer, diselitupi pula oleh mantle silika padu setebal 2,800 kilometer membentuk 83% isipadu bumi, dan akhir sekali diselitupi oleh kerak batu silika hampir 100 kilometer tebal. Kerak bumi lebih nipis di dasar laut iaitu sekitar 5 kilometer. Kerak bumi terbahagi kepada beberapa bahagian dan bergerak melalui pergerakan tektonik (teori Hanyutan Benua) menghasilkan gempa bumi. Puncak tertinggi adalah gunung Averest setinggi 8,848 meter, dan lautan terdalam mencecah 10,924 meter. Tasik tertinggi adalah tasik Titicaca, dan tasik terbesar adalah Laut Caspian.

Bunga Patma
Bunga Patma merupakan bunga terbesar di dunia, dan bunga Patma spesies Rafflesia arnoldii yang terbesar di dunia mempunyai saiz 91cms (3 ft) diameter, 1.9 cms (3/4 inci) tebal  dengan berat 7 kgs (15 lbs). Bunga Patma yang pertama telah direkodkan oleh Sir Stamford Raffles dan Dr Joseph Arnold pada tahun 1816. Bunga Patma spesies itu diberi nama Rafflesia arnoldii  sempena nama mereka. Bunga Patma itu dijumpai di bandar Bengkulu (Bencoolen) di Sumatera.

Burung Dodo
Dodo merupakan nama sejenis burung yang tidak boleh terbang yang dijumpai di kepulauan Mauritius pada tahun 1507. Orang Portugis memanggil burung tersebut sebagai Doudo yang beerti bodoh. Burung Dodo telah hidup di kepulauan Mauritius, yang mempunyai keluasan 720 batu persegi dan terletak 500 batu daripada Madagascar di lautan Hindi, tanpa sebarang musuh semulajadi. Kakinya yang pendek berbanding dengan tubuhnya yang gemuk sebesar angsa, dengan sisi sayap pendek yang tidak boleh digunakan untuk terbang menjadikan ia kelihatan kelakar. Burung Dodo juga jinak dan tidak takutkan manusia menyebabkan mereka diburu dengan meluas. Selepas 180 tahun ketibaan manusia, burung Dodo telah diistihar pupus kesemuanya pada tahun 1680.

Burung Unta
Burung Unta merupakan burung yang terbesar, terkuat dan terpantas di bumi. Terdapat empat subspesies yang kesemuanya terdapat di Afrika. Burung Unta boleh hidup di kawasan beriklim salji sehingga kawasan gurun dengan suhu sehingga 56°C. Burung Unta membuat sarang di atas tanah dengan membuat lekuk selebar tiga ela di tanah. Burung Unta bertelur antara enam sehingga lapan biji telur yang setiap satunya seberat dua setengah paun. Burung Unta jantan akan bergilir dengan Burung Unta betina untuk menjaga telur sehingga menetas.
http://www.mardi.my/ver2/info_pack/burung_unta.htm
 
 
 

- TAMAT -

LAMAN ILMU