Undur | Laman Utama | Depan
 
Undur | Laman Utama | Depan
 
 
 

A | B | C | D | E | F | G | H | I | J | K | L | M
N | O | P | Q | R | S | T | U | V | W | X | Y | Z

DAFTAR S
23 Zulhijjah 1422

Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj
Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong XI (11) dan juga Sultan Selangor yang ke lapan, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj telah kembali ke rahmatullah pada 11.57 pagi Rabu, 21 November 2001 bersamaan 5 Ramadhan 1422 Hijrah ketika berusia 75 tahun. Beliau dikebumikan di Makam diraja Kelang berhampiran ayahandanya Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah dan nindanya Almarhum Sultan Alauddin Suleiman Shah pada 5:30 petang 6 Ramadhan 1422 Hijrah. Baginda digantikan oleh Sultan Shaafuddin Idris Shah sebagai Sultan Selangor yang ke sembilan.

Salji
Salji terjadi apabila suhu yang terlalu sejuk menjadikan wap air yang membentuk awan membeku dan membentuk kristal salji. Apabila kristal salji menjadi terlalu berat untuk diapung di udara, kristal-kristal itu jatuh ke bumi sebagai salji. Salji boleh menyeronokkan dengan membenarkan permainan luncur salji, membina orang salji, dan bangunan salji. Bagaimanapun, salji juga boleh menjadi merbahaya kerana jalan raya menjadi licin, salji di lereng gunung boleh runtuh, dan salji yang terlalu tebal boleh menyebabkan hubungan terputus. Pada musim panas, salji akan cair menjadi air dan mendatangkan ancaman banjir lumpur, dan banjir bah. Di sesetengah tempat seperti di kutub, salji yang dibawa angin dari seluruh dunia, tidak pernah cair, ini membenarkan pakar sains untuk mengkaji tentang iklim di bumi pada zaman dahulu kala. Oleh kerana salji yang turun membentuk lapisan setiap tahun, dengan mengkaji kandungan kimia, sprora, debunga, dan radiasi di dalam lapisan salji kutub, pakar sains dapat menentukan jenis tumbuhan dan keadaan iklim bumi pada masa itu. Kandungan debu yang tinggi menunjukan kemarau, debunga menentukan jenis tumbuhan, habuk gunung berapi menunjukkan keaktifan gunung berapi, habuk dari hentaman meteor (ditentukan melalui kandungan radiasi dan bahan dalam habuk) menunjukan berlakunya bencana akibat meteor, ketebalan lapisan salji menunjukkan jumlah salji yang turun pada masa itu seperti pada zaman ais, dan udara yang terperangkap dalam timbunan salji memberikan contoh udara pada zaman dahulu-kala. Oleh itu kawasan kutub boleh dikatakan menjadi satu arkib untuk cuaca pada zaman dahulu dan contoh teras air batu daripada kedua-dua kutub telah diambil dan disimpan untuk kajian pada masa akan datang. Jumlah salji di kutub juga menjadi penanda sekiranya bumi akan mengalami cuaca panas, jika kawasan bersalji berkurangan, atau semakin sejuk, jika kawasan bersalji bertambah.

Segi Tiga Emas
Segi Tiga Emas terletak di sekitar pertemuan Sungai Mekong dan Sungai Ruak yang berkongsi sempadan dengan tiga buah negara iaitu Myanmar, Thailand, dan Laos. Ia berada kira-kira 60 kilometer daripada Chiang Rai. Pada mulanya chandu digunakan sebagai ubat. Bagaimanapun, pihak Inggeris yang tiba telah menggalakkan penanaman popi secara besar-besaran untuk menghasilkan candu untuk diniagakan dengan China.Ini menggalakkan penagihan chandu bagi rakyat China sehingga akhirnya mencetus peperangan candu Inggeris-China.

Selampit
Satu sastera penglipur lara rakyat yang diceritakan oleh seorang pencerita yang digelar Tok Selampit. Pengkisahan secara mulut ini biasanya diiringi dengan gesekan rebab. Selampit merupakan salah satu daripada beberapa cerita yang disampaikan dan setiap penceritaan biasanya memakan masa dari satu malam sehingga empat malam bergantung kepada penaja majlis. Ia amat mashyur di negeri Kelantan dan selalu dipersembahkan dalam majlis seperti perkahwinan dan keramaian umum. Pada masa sekarang, sambutan yang berkurangan menjadikan seni ini semakin terpinggir.

Semarak di Rimba
Semarak di Rimba atau juga dikenali sebagai semarak api  merupakan pokok saka hiasan yang ditanam di tepi jalan. Nama Inggerisnya adalah Flame of the Forest. Nama saintifiknya adalah Delonix Regia.

Sultan Shaafuddin Idris Shah Ibn Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Sultan Shaafuddin Idris Shah dilahirkan di Istana Jema'ah Klang Selangor pada 24 Disember 1945, merupakan putera sulong kepada Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dan Raja Nor Saidatul Ihsan Tengku Badar Shah. Baginda ditabalkan menjadi Sultan Selangor yang ke sembilan pada 22 November 2001 setelah memangku jawatan Raja Muda Selangor semenjak berusia 15 tahun pada 3 September 1960. Beliau pernah berlayar mengelilingi dunia menaiki perahu layar Jugra selama 22 bulan, sejauh 28,780 batu nautika dan pernah menyertai perlumbaan kereta antik dari Peking ke Paris pada 1997.

Sindrom Down
Sindrom Down merupakan kecacatan baka (genetik) dan tidak boleh diubati. Dianggarkan Sindrom Down  terjadi pada kadar satu bagi setiap 650 kelahiran. Perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak Sindrom Down lambat berbanding kanak-kanak biasa. Kanak-kanak Sindrom Down perlu pendidikan khas seawal mungkin agar dapat membantu mereka berdikari. Pengidap Sindrom Down boleh menguruskan diri mereka tanpa sebarang masalah sekiranya dilatih dengan betul. Pengidap Sindrom Down terbahagi kepada tiga—Trisomi, Translocation dan Mosaic. Tidak kira jenis apa, kanak-kanak Sindrom Down boleh dikenali melalui wajah mereka yang seiras.
http://www.health.com.my/bayi/bayi12.shtml
http://www.sabah.org.my/bm/nasihat/artikel_kesihatan/sindrom_down.htm

Sistem Suria
Sistem Suria terletak dalam galaksi Bima Sakti dan terdiri daripada satu bintang yang dipanggil matahari dan dikelilingi oleh sembilan buah planet yang mempunyai orbit berbentuk bujur. Sistem Suria dipercayai terbentuk sekitar 4,600 juta tahun dahulu hasil pengumpalan gas dan habuk di angkasa yang membentuk matahari dan kemudiannya planet-planet yang lain kecuali planet Pluto. Sistem suria dikekalkan oleh daya graviti matahari dan sempadan sistem suria, yang mempunyai garis pusat setahun kelajuan cahaya, ditanda oleh taburan komet yang dipanggil awan Oort. Terdapat satu lagi awan Oort berbentuk piring dibahagian dalam sistem suria yang dikenali sebagai awan Oort dalam. Disebabkan oleh orbit planet yang membujur, jarak dan kedudukan planet berbanding kedudukan matahari berubah mengikut kedudukan planet di orbit. Senarai planet dan jarak purata planet dengan matahari adalah seperti berikut :-  57.9 juta kilometer ke Utarid, 108.2 juta kilometer ke Zuhrah, 149.6  juta kilometer ke Bumi, 227.9 juta kilometer ke Marikh, 778.3 juta kilometer ke Musytari, 1,427 juta kilometer ke Zuhal, 2,871 juta kilometer ke Uranus, 4,497 juta kilometer ke Neptun, dan 5,913.5 juta kilometer ke Pluto. Terdapat juga lingkaran asteroid yang kebanyakannya mengelilingi matahari di antara orbit planet Marikh dan Musytari. Disebabkan oleh putaran, garis pusat pada garis khatulistiwa adalah terpanjang bagi setiap planet dan bintang.

Staphylococcus aureus
Terdapat lima jenis enterotoksin yang dihasilkan oleh organisma Staphylococcus aureus yang menyebabkan keracunan. Kesemua toksin ini tahan haba dan tidak dapat dimusnahkan oleh asid dan enzim perut dan usus kecil. Gangguan ini akan menyebabkan rasa loya dan muntah-muntah dalam masa 3 hingga 6 jam selepas memakan makanan tercemar, manakala simptom cirit-birit pula jarang dilaporkan. Pengesanan organisma Staphylococcus aureus biasanya melalui kehadiran enterotoksin yang dihasilkannya dan jarang Staphylococcus aureus dapat dikesan pada contoh makanan tercemar.

Stesen Angkasa
Ruang angkasa merujuk kepada aras  700 kilometer dari muka bumi, di mana tidak terdapat udara yang membolehkan manusia hidup. Untuk meneroka ruang angkasa lepas, manusia memerlukan perlindungan dari kesejukan angkasa, radiasi, pancaran ultra, dan bekalan udara. Roket membenarkan manusia untuk meneroka angkasa untuk masa yang pendek tetapi stesyen angkasa yang mengorbit bumi, membenarkan manusia untuk duduk lama di angkasa. Pada ketinggian 700 kilometer, stesyen angkasa perlu membekalkan udara, kepanasan, dan juga melindungi angkasawan daripada radiasi yang merbahaya yang datang daripada matahari, sebagai angin suria, dan juga bintang yang lain. Stesyen angkasa mengekalkan kedudukan mereka dengan mengorbit bumi pada kelajuan yang seimbang dengan tarikan bumi. Sekiranya terlalu laju, ia akan terlepas ke angkasa atau terhempas pula ke bumi sekiranya terlalu perlahan. Julangan matahari juga boleh mengancam stesyen angkasa kerana ia mampu menolak stesyen angkasa daripada orbit lalu terhempas ke bumi, atau merosakkan peralatan pengendalian stesyen angkasa. Selain itu meteor yang bergerak dengan kelajuan tinggi mampu memusnahkan stesyen angkasa bila-bila masa. Stesyen angkasa juga perlu menghidupkan roket secara berkala agar dapat mengekalkan kedudukan mereka. Ini disebabkan geseran dengan angin suria dan molekul udara yang terlepas dari tarikan bumi memperlahankan stesyen angkasa secara beransur-ansur. Bangkai stesyen angkasa yang tidak diperlukan pula boleh mengancam penduduk apabila ia menjunam jatuh ke bumi. Pada kebiasaannya pengawal stesyen angkasa akan menjatuhkan stesyen angkasa ke dalam laut untuk mengelakkan masaalah tersebut. Selain itu amaran akan diberikan kepada kapal-kapal untuk mengelak kawasan tersebut.
Lebih lanjut mengenai Steyen Angkasa Antarabangsa di - http://www.cosmicimages.com/iss/

Sulalatul Salatin (Sejarah Melayu)
Sulalatul Salatin (Sejarah Melayu) merupakan satu sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman pemerintahan Melayu yang ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu. Ketika Feringgi (Portugis) menakluk Melaka, salinan Sejarah Melayu telah dibawa ke Goa. Terdapat sekurang-kurangnya 29 versi tetapi versi yang paling mashyur adalah versi Shellabear. Menurut pengenalan Sejarah Melayu naskah Shellabear, Yang Dipertuan Raja di Hilir Sultan Abdullah Mu'ayat Syah ibni'l Sultan Abdul Jalil Syah telah mengutuskan Seri Nara Wangsa Tun Bambang untuk memerintah Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad@Mahmud  (Tun Seri Lanang)  pada hari Khamis, 12 Rabiu Awal 1021 bersamaan 13 Mei T.M. 1612 agar menyunting salinan Sejarah Melayu yang dibawa oleh Orang Kaya Sogoh dari Goa. Ketika itu Sultan Johor Lama, Sultan Alauddin Riayat Syah ibni Sultan Abdul Jalil Syah telah ditahan di Istana Raja Acheh, Raja Iskandar Muda. Sejarah Melayu Sulalatul Salatin di anggap penting kerana ia memberikan adat istiadat kerajaan, susunan raja Melayu dan sejarah kerajaan Melayu dan boleh dikatakan menyerupai konsep Sejarah Sahih (Veritable History) China, di mana pada setiap pertukaran Dinasti di China, sejarah Dinasti sebelumnya akan ditulis dan disimpan di arkib negara tersebut.
 

(Terdapat pendapat menyatakan Goa di sini adalah di India, atau di Filipina. Kemungkinannya Goa di sini terletak di Filipina disebabkan sekiranya Portugis mengambil salinan Sejarah Melayu ke Goa India,  pastinya Sejarah Melayu akan dibawa terus ke Eropah sebagai harta rampasan.)

Sungai Nil
Sungai Nil sepanjang 6,695 kilometer merupakan sungai yang terpanjang di dunia. Sungai Nil yang mengalir melalu Mesir akan bah dan melimpahi tebingnya setiap tahun. Banjir tahunan ini akan menghilangkan garam yang terkumpul dalam tanah dan apabila surut, lapisan tanah hitam subur yang dikenali sebagai kamat tertinggal. Ini menjadikan tebing sungai Nil sebagai kawasan pertanian penting dan menyumbang kepada kewujupan tamadun purba di situ. Sungai Nil merupakan gabungan daripada dua sungai yang dikenali sebagai sungai Nil Putih dan Nil Biru. Sungai Nil Putih bermula daripada tasik Victoria, Uganda, sementara sungai Nil Biru bermula daripada Tasik Tana di Habsyah. Punca sungai Nil dijumpai oleh seorang penjelajah Inggeris, John Hanning Speke pada tahun 1858. Dia bagaimanapun mengakui bahawa pedagang Arab telahpun menjumpai punca sungai Nil lama sebelum itu.

Superraksaksa merah
Superraksaksa merah terhasil apabila bintang yang bersaiz lebih besar daripada matahari kehabisan hidrogen di teras dan tesannya mengucup dan menghasilkan haba yang memanaskan lapisan luar gasnya yang masih mempunyai hidrogen. Lapisan luar akan mengembang (seperti belon) dan membentuk Superraksaksa merah yang bersaiz sehingga 500 kali ganda matahari. Selepas itu Superraksaksa merah akan meletup dalam letupan yang dikenali sebagai Nova atau Supernova yang mencampak lapisan luar bintang keseluruh Alam Semesta. Teras bintang akan mengecil dan menjadi teramat tumpat dengan daya tarikan graviti tersangat tinggi dan membentuk bintang neutron ataupun lohong gelap  'black hole'.

Skala Richter
Skala Richter merujuk kepada kekuatan gempa bumi dan mempunyai unit 1 hingga 10. Gempa bumi yang melebihi 6.5 boleh mengakibatkan  kemusnahan yang teruk.
 
 
 

- TAMAT -

LAMAN ILMU